BIHUN SUP TASIK PUTERI
Rabu lepas ketika memandu balik dari pejabat, saya berhajat singgah di pasar malam Bandar Tasik Puteri. Dalam kepala, saya dah terbayangkan bihun sup yang ditambah dengan perut lembut. Alahai sedapnya... Kalau tak percaya, Rabu nanti sila lah ke pasar malam Bandar Tasik Puteri, Rawang. Beli dan rasa sendiri. Nak lebih sedap lagi, saya cadangkan makan waktu lapar sambil tengok cerita P Ramlee, "Pendekar Bujang Lapok". Tapi kena hati2 la sikit. Jangan sampai tercekik pulak disebabkan banyak sangat ketawa (walhal dah tau di babak mana kita akan ketawa!)Favourite saya ialah waktu geng Bujang Lapok ketawakan Pak Abu dalam kelas buta huruf. Kalau saya terkena pengalaman yang sama, memang begitu jugaklah yang akan saya buat!
PANGGILAN TELEFON
Berbalik pada cerita pasar malam tadi, sebaik sampai dan sedang elok saja saya matikan enjin kereta, handphone "baru" yang saya masih terkial2 lagi nak pakai ni tiba2 berbunyi - petanda ada SMS baru masuk. Bila dibaca, msgnya berbunyi begini: "Boleh saya kenal awak?". Dalam hati saya ishhh... Ni siapa pulak la nak kenakan saya ni. Tapi disebabkan saya ni bekerja dalam bidang yang membabitkan komunikasi, maka SMS begini mahu ataupun tidak tak dapatlah nak saya abaikan. Jadi terpaksalah jugak teman menjawabnya: "Maaf Tuan. Tapi boleh saya tahu siapa Tuan?" Sengaja saya bahasakan dirinya "Tuan" - dengan tujuan supaya pengirimnya faham bahawa saya cuma berminat melayan SMS/panggilan yang formal semata2. Strategi tu...
Saya tak perlu menunggu lama untuk balasan SMS seterusnya. Tapi cuak betul rasa hati bila membaca jawapan pengirimnya tu: "Awak boleh call saya sekarang." Eh eh! Apahal aku pulak yang kena telefon?!! Kenal pun tidak... Hati saya yang kecil dan kemerah-merahan ibarat epal harga 50 sen ini pun apa lagi... Mula lah panas dan rasa seperti dicucuh dengan lighter murah harga tak sampai seringgit di kedai berdekatan tempat saya parking ni. Sudahnya, saya putuskan malas nak layan dan biarkan dulu sementara saya nak selesaikan dulu misi membeli bihun sup yang jauh lebih menyelerakan tu.
"BIHUN SUP CAMPUR PERUT SATU!"
Sampai depan gerai tu, saya pantas memberitahu abang penjualnya tu: "Bihun sup campur perut satu!" -- bila pada masa yang sama telefon saya yang canggih tu berdering dan pada skrinnya terpapar nombor pengirim SMS tadi. Alamak.. Ini mungkin betul2 official. Saya tak ada pilihan melainkan menjawab panggilan!
Saya: "Hello!"
Pemanggil: "Hello. Ni kat mana ni?" (dalam loghat utara)
Saya: "Boleh saya tau siapa Tuan?"
Pemanggil: "Ni kenapa mesti bertuan-tuan ni? Ini siapa yang bercakap ni?"
Saya: "Maaf ya. Tuan yang telefon saya, jadi boleh saya tahu siapa Tuan?"
Pemanggil: "Ni kat mana ni?"
Saya: "Rawang Tuan"
Pemanggil: "Awak kerja apa ya?"
Saya: "Apa pulak kena mengenanya panggilan tuan dengan apa kerja saya?"
Pemanggil: "Saja la saya nak tahu."
Saya: "Maaf lah ya, tapi kalau tak ada apa-apa saya letak telefon tuan ya."
Pemanggil: "Eh nanti lah dulu. Saya nak cakap lagi ni. Saya nak bersembang dengan awak. Manalah tau kalau2 saya boleh bantu apa2..."
Saya: "Bantu? Bantu apa?" (dengan suara yang semakin meningkat tahap keseriusannya. Sambil itu, tangan saya menyambut beg plastik berisi bihun sup yang dihulurkan brother penjual tu - dan menukarnya dengan wang kertas RM5 yang kemudiannya dipulangkan dengan baki RM2.
Pemanggil: "Bantu macam2. Kalau awak nak buat pinjaman ke..."
Saya: "Pinjaman?? Tak apa lah tuan ya. Saya tak berminat dan tak ada masa pun nak bercakap hal2 yang tak ada kaitan dengan kerja saya. Okay lah ya.. " (dengan nada yang memberi makna untuk letakkan telefon)
Pemanggil: "Eh nanti! Nanti! Awak kerja apa ya?"
Saya: "Kerja biasa je Tuan. Okay lah ya. Bye!" -- dan terus saya matikan talian telefon!
Hati saya waktu tu kalau boleh di X-Ray, mungkin penuh satu dada agaknya - kembang disebabkan geram. Nak bagi pinjaman konon... Hutang yang sedia ada pun dah cukup untuk buat saya pitam, ini kan pulak nak ditambah dengan pinjaman yang entah dari mana hujung pangkalnya. Aduh! Mujurlah ada bihun sup perut perut yang membuat saya tak sabar untuk tiba ke rumah bagi tujuan menikmatinya sambil menonton "Pendekar Bujang Lapok" di TV...
BETUL CAKAP MAK...
Kecewanya saya... Tau apa jadi? Dalam keadaan berkobar2 nak makan bihun sup perut tu, saya kecewa habis bila sebaik saja bihun tu dituangkan ke mangkuk, satu isi perut pun saya tak jumpa - melainkan semuanya daging semata2! Ini mestilah abang tu tak dengar permintaan saya yang minta ditambah perut -- dan dia pun tak dapat nak mencelah tanya disebabkan saya nampak serius sangat bercakap di telefon!!! Aduh geramnya, geramnya! Sudahnya, disebabkan perut sendiri dah lapar sangat, maka terpaksa jugaklah saya makan bihun sup tanpa perut lembu tu -- sambil menonton "Pendekar Bujang Lapok". Bezanya, kali ni saya tak gelak langsung ketika tiba babak Bujang Lapok ketawakan Pak Abu tu... Sekarang saya faham, patutlah sejak kecil lagi mak selalu pesan: "DON'T TALK TO STRANGERS" -- sebab satu antara kesan dan akibatnya, kita berisiko untuk terlepas daripada nikmat makan bihun sup perut... Hmm...
Jumpa lagi untuk cerita lain!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment