15 November 2008

Bila ITNM Keluar Majalah 3...

IMPAK ITNM KELUAR MAJALAH 3

Banyak hikmahnya bila Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) keluar di Majalah 3 pada hari Sabtu, 1 November lalu. Disebabkan muka saya pun sesekali "melintas" di kaca TV tu, ramailah teman-teman yang menalifon ucapkan tahniah kerana ITNM komen mereka dah tak senyap dan sunyi macam dulu. Kepada semua yang menonton, baik yang menalifon atau sekadar ucapkan tahniah dalam hati, saya ingin sampaikan rasa terima kasih di atas perhatian dan sokongan yang diberi, terutama sekali kepada Dato' Lat khususnya, kerana sudi bersama-sama kami untuk turun padang ke Jerman bagi tujuan mempromosikan buku Kampung Boy karya beliau yang telah ITNM terjemahkan ke bahasa Jerman untuk pasaran di negara tersebut.

KAMPUNG BOY JADI BEST SELLER DI MPH!

Wah! Terkejut besar kami di ITNM bila CEO ITNM, En Mohd Khair Ngadiron memberitahu bahawa buku Kampung Boy berada pada kedudukan keempat bagi senarai lima buku terlaris di MPH minggu lalu. Ini bukan main-main, ini betul2... (sila baca seperti ucapan dialog dalam "Pendekar Bujang Lapok"). Untuk makluman semua, senarai ini adalah seperti yang dipaparkan dalam akhbar Berita Harian, 14 November 2008. Hmm... Saya lebih lagilah terkejut - sebab kena "scoop" dengan En Khair. Tau apa makna scoop? Istilah ini sangat popular di kalangan wartawan (kerjaya saya bermula 16 tahun lalu sebagai wartawan di Berita Harian) dan maksud scoop bagi kalangan media ialah bila wartawan akhbar lain berjaya mendapatkan berita eksklusif sedangkan kita pula terlepas! Jadi itu dikira dah kena "scoop"! Habuannya? Itu kenalah saya petik tagline Nabil Raja Lawak Astro: "Lu kena pikir la sendiri.."

Berbalik kepada senario saya di ITNM ni, sebagai Ketua Unit Komunikasi Korporat syarikat, hal2 media ni sepatutnya berada di bawah kawalan saya, dan melaporkan sesuatu perkembangan atau paparan berkaitan hal-hal yang berkaitan syarikat kepada CEO juga adalah sebahagian tanggungjawab saya. Justeru bila bos sendiri dah baca dulu dan kemudiannya memaklumkan pada saya, maka saya namakanlah sendiri "kejadian" itu sebagai kena "scoop"! Hmm... Minta maaf En Khair ya... (tersenyum)

Apa pun, berbalik kepada buku Kampung Boy jadi satu antara lima buku terlaris di MPH tu, saya dan seluruh warga ITNM tumpang gembira dan bangga, kerana ia juga pastinya "tempias" daripada usaha ITNM mengetengahkan semula karya tersebut kepada umum. Bayangkan, buku yang telah 30 tahun berada di pasaran tiba-tiba saja menduduki carta lima terlaris -- seminggu selepas usaha ITNM mempromosikan edisi terjemahannya ke bahasa Jerman dipaparkan di Majalah 3. Tahniah Dato' Lat, dan untuk makluman semua, edisi terjemahan yang diusahakan ITNM bagi penerbitan bahasa Jerman itu adalah siri kesembilan dalam jaringan edisi terjemahan buku tersebut. Sebelumnya, buku tersebut telahpun diterjemahkan ke sembilan bahasa dunia, antaranya Jepun, Korea, Portugal, Perancis, Itali, Belanda, Inggeris (Amerika) dan akan datang mungkin Arab, Thai, Inggeris (Australia) dan China - hasil usaha ITNM mengetengahkannya di Frankfurt Book Fair - pesta buku terbesar dunia pada 15 hingga 19 Oktober lalu di Jerman.

HIKMAH DI SEBALIK MAJALAH 3

Satu yang saya seronok, bila ramai kawan-kawan lama tiba2 menelefon selepas beberapa hari tayangan ITNM di Majalah 3 - sambil menjerit-jerit di hujung telefon kerana tak sangka kami akhirnya dapat berbual semula dan semestinya berpeluang untuk berjumpa semula! Paling awal menelefon ialah Akin, yang sekarang dah jadi cikgu bahasa Inggeris di Kedah. Kemudiannya Rose, Mazlina, Tina, Sham, dan ramai lagi, termasuklah yang berhubung melalui kiriman e-mel. Yang buat saya kagum, ada antara mereka ni yang menelefon ke TV3 untuk bertanyakan cara untuk menghubungi saya. Opss... Minta maaflah kepada krew yang terbabit tu ya... (tersenyum nakal!) Kepada semua teman-teman, terima kasih kerana menghubungi saya, dan Insya-Allah kita akan berjumpa dalam masa yang terdekat. Setahu saya, Mazlina sedang aturkan, dan hampir setiap hari dia menelefon untuk melaporkan perkembangan misi tersebut. Katanya, dia teruja dan tak sabar untuk berjumpa semula semua teman-teman selepas hampir 21 tahun tak berjumpa! Mak aii lamanya... Jadi memang sepatutnyalah kami teruja dan tunggu sampai tiba waktu pertemuan tu nanti, pasti banyak yang boleh saya kongsikan di sini!

Jumpa lagi!

No comments: