Aduh mak ya Allah!!! Dalam hati dan di luar hati saya rasa macam nak je turun ke tingkat tiga (saya di tingkat lima) dan gantung Enche Lah terbalik dengan kakinya di atas dan kepala di bawah dan kemudian saya jadikan punching bag bagi melepaskan geram di hati dan sanubari saya ketika ini! Pagi tadi ketika beliau menghubungi saya untuk bertanyakan pandangan saya mengenai hal berkaitan kerja, kami berbual biasa sambil disulam dengan gelak ketawa gear tiga (sebab perut lapar, jadi tak cukup tenaga nak gelak ketawa gear lima). Dan agak-agak nak letak telefon tu, Enche Lah sempat memberitahu dengan suara ala-ala malu gitu bahawa dia ada post bahan istimewa di blognya mengenai saya. Saya waktu itu lagi dah jeritkan dia, kerana saya dah tahu ini mesti tak lain tak bukan tentulah bahan yang nak mengenakan saya ni... Jadi walaupun tengah sibuk mengalahkan Barrack Obama (sebab saya akan bercuti seminggu pada minggu hadapan) maka terpaksalah saya mencuri sedikit masa yang ada untuk membuka blog beliau dan MASYAALLAH!!!... Terkejut melihat "catatan khas" itu dah satu hal... tapi bila diklik pada gambar saya (sebagaimana arahan psikologinya tu!) lebih terkejut lagilah saya bila melihat ruangan blog saya terpapar penuh di skrin komputer!!!!! Enche Lah!!!!!!!!!!!!!!!
Kepada semua, ingin saya kongsikan di sini bahawa Enche Lah dah lama tahu mengenai "kewujudan" blog saya ini - dan dah lama juga dia merisik mahukan alamatnya. Bagaimanapun, saya tak pernah dedahkan dana setiap kali ditanya, alasan saya ialah saya belum sedia berkongsi blog itu dengan umum. Bukanlah ada apa-apa yang istimewa pun, dan bukan juga kerana saya malu nak berkongsi cerita yang berkilo-kilo dalam kepala saya ni dengan kawan2, tetapi apa yang mewujudkan sempadan dalam hal ini ialah keadaan saya yang "kesempitan waktu" untuk mencari ruang bagi menulis setiap hari di blog ini. Pasti ada yang menganggap cakap-cakap saya ini sebagai alasan. Mungkin betul, kerana sudah sifat manusia, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih! Jadi inilah dalih saya yang cuba disampaikan dalam cara yang terhormat... (dalih lagi...)
Apa pun, panas di hati ini masih membara. Saya sudah jeritkan kepada Enche Lah tadi dan beliau cuma gelak besar gear lima campur gear automatik bila mendengarkan "kata-kata manis" yang saya hamburkan kepadanya. Aduh Enche Lah... Saya nyatakan pada beliau, sekarang satu dunia akan mengenali saya sebagai satu antara penulis blog yang bercita-cita nak ada blog (sebab terpengaruh dengan blog Enche lah) tapi bermasalah sebab tak sempat nak layan blog sendiri hingga menyebabkan ia "hidup terbiar" tak diberi "makan" dengan sebarang kandungan dan pengisian.
Justeru kepada semua "pelawat" yang telah masuk ke blog ini tanpa sengaja (seperti saya juga!) saya ucapkan Selamat Datang (dengan muka berkerut - menambahkan lagi kerut kedut yang sedia ada) dan InsyaAllah kalau ada kesempatan, saya akan terus menulis, tapi jika ada hambatan waktu, maka sesekali akan sepi lah blog ini seperti judul filem Grand Brilliant iaitu "SEPI". Saya adalah satu antara peminat filem tersebut, jadi mungkin itu adalah satu antara punca mengapa blog ini pun selalu sepi. Okay jugak alasan tu ya...
Akhir kata, minta maaf kerana tuan/puan tersesat ke blog saya ni... Jumpa lagi (Insya-Allah)!
P/S: Siap la kau Enche Lah (dengan otak yang berputar alam memikirkan cara nak "mengenakan" dia...) - sambil "tersenyum jahat"!
19 December 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment