20 November 2008

KERJA PR KERJA SENANG?

KERJA KOSONG

Minggu lepas saya dapat panggilan talifon daripada seorang teman. Dah lama berborak, dia tiba-tiba bertanyakan pendapat saya -- bagaimana kalau dia "beralih angin" menukar kerjanya sekarang (sebagai pensyarah) kepada bidang komunikasi atau lebih mudah jika disebut jadi PR (public relation officer/pegawai perhubungan awam). Hampir tersedak saya bila mendengarkan pertanyaannya tu, sebelum ketawa besar sambil bertanya: "Engkau nak jadi PR?!.."

Tapi saya tak salahkan teman saya tu, kerana saya akui ramai sebenarnya yang berminat dengan kerjaya PR -- kerana secara luarannya kerjaya ini nampak menarik serta mudah. "Menarik" tu mungkin ada benarnya, tapi "mudah" -- itu banyak bergantung kepada keadaan serta cara kita menguruskan kerja.

Hakikat sebenar, kerja PR adalah kerja sukar (dalam erti kata subjektif) yang boleh memberikan kita satu antara dua hasil berikut -- sama ada menggembirakan atau sebaliknya mengecewakan, menarik - atau sebaliknya membosankan. Pendek kata, kerjaya PR ini bukanlah sebagaimana apa yang sering digambarkan atau digembar-gemburkan oleh kebanyakan kita - termasuklah teman saya tu! (Sorrylah Wan. Nak tengok engkau senyum pun nisbahnya cuma dua kali setahun -- ini pulak ada hati nak jadi PR... Terus-terang, mati hidup balik pun aku tak boleh bayangkan!) - (ketawa)

PR PUN PERLUKAN KEMAHIRAN

Untuk kita jadikan panduan, kerjaya PR hakikatnya memerlukan dua bentuk kemahiran - kemahiran personaliti dan kemahiran profesional. Antara elemen yang termasuk dalam kemahiran personaliti ialah penyabar, peramah, menyenangkan, bijak berkomunikasi, mampu mengawal diri, tidak mudah marah, tidak pasif, berfikiran kritis, berani berdepan dengan cabaran, rajin membaca, dan jujur lagi beretika. Sementara kemahiran profesional pula membabitkan skil penulisan, kemampuan berucap di hadapan umum, mahir menggunakan Internet dan paling utama mestilah multi-tasking -- membabitkan kebolehan berurusan dengan media, mengendalikan pelanggan, menguruskan krisis dan membangunkan strategi promosi untuk syarikat.

Dipendekkan cerita, saya memang sedang mencari seorang eksekutif PR untuk menampung keperluan Unit Komunikasi Korporat ITNM - selaras dengan perkembangan syarikat serta strategi yang telah dan sedang disusun untuk mengukuhkan lagi penjenamaannya dalam industri. Justeru jika ada sesiapa di luar sana yang berasakan dirinya memiliki kedua-dua bentuk kemahiran seperti yang saya senaraikan di atas, maka saya nasihatkan supaya jangan tunggu lama. Hantarkan resume dan jika panel kami bersetuju bahawa anda mempunyai potensi untuk membina kerjaya dalam bidang ini, maka anda akan dipanggil untuk temuduga - platform atau medium untuk anda buktikan bahawa andalah sememangnya yang sedang kami cari-cari!

Sehingga jumpa lagi!

No comments: